Nak berubah bukannya mudah tetapi tidaklah susah.
Ada yang ingin menutup aurat yang sudah lama terdedah tetapi terbelenggu dek tuntutan kerjaya mahupun arus fesyen moden masakini. Hajat di hati berkobar-kobar mahu bertudung dan berjubah semula, namun niat hanya tinggal niat; yang ditangguh-tangguh hari demi hari.
Ada pula yang mahu berhijrah dari hidup yang tidak tentu arah kepada yang lebih baik. Cemburu melihat rakan-rakan yang sudah teratur jalannya berbanding diri sendiri yang masih merangkak-rangkak mencari kematangan iman. Cuma bila tiba esok hari yang dirancang sebagai permulaan detik baru, semangat terus hilang bagaikan misteri.
Ramai yang mahu berubah; dari keburukan ke arah kebaikan, dari bergelumang dosa ke arah kehidupan berpahala, dari jalan ke neraka ke jalan menuju syurga. Kerana fitrah kita dijadikan juga asalnya baik, bertepatan dengan firman Allah SWT:-
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik kejadian"
Surah at-Tin 95:04
Lalu saya tanyakan kepada semua:-
Apakah kita benar-benar ingin berubah ataupun sekadar berniat untuk menyedapkan hati sahaja?
Saya pernah melihat seorang kenalan yang datang mengadu kepada saya perihal dirinya yang serba tidak kena dalam hidup. Biarpun dia telah memiliki kerjaya yang stabil, kehidupan yang mewah dan lingkungan sosial yang baik; namun dia tetap tidak terasa tenang dan bahagia.
Pernah juga dia berazam untuk berubah, menetapkan waktu permulaan seperti awal Tahun Baru Masihi ataupun Tahun Baru Islam dan sebagainya. Tetapi apabila dia ingin melaksanakan perubahan itu, seolah-olah ada sesuatu dalam dirinya sendiri yang mensabotaj usahanya.
Disebabkan itulah dia masih di takuk yang lama.
Saya memahami situasi yang dialami oleh kenalan saya itu. Perubahan memerlukan kesabaran, kekuatan dan kesungguhan. Perubahan perlu disertai dengan pengorbanan, tanggungjawab dan keikhlasan. Itulah 'harga' sebuah perubahan yang perlu dibayar jika inginkan hasilnya di kemudian hari.
Seperti saya katakan sebelum ini:-
Seperti saya katakan sebelum ini:-
"Berubah bukannya mudah tetapi tidaklah susah"
Tetapkan di dalam hati ini yang mana kita mahu berubah kerana Allah SWT. Itulah matlamat utama yang perlu disematkan terlebih dahulu sebelum perkara-perkara lain. Apabila Allah SWT dibesarkan, akhirat diutamakan, maka nilaian dunia ini menjadi murah dan kecil sekali di mata kita. Ketika itulah segala-galanya dipertaruhkan demi untuk mendapat redha dan syurga Allah SWT.
Kerana dari Allah SWT sahaja kita akan mendapat pertolongan dan kekuatan hati dalam menempuh segala ujian yang mendatang.
Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini:-
"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti."
Hadith Riwayat al-Baihaqi
Sudah sampai masanya untuk kita jauhi sikap berdolak dalik, berlengah-lengah serta tidak bersunguh-sungguh dalam setiap apa yang kita lakukan. DNA keburukan dalam diri ini perlu dikikis dan ditukar dengan elemen-elemen yang menjurus ke arah kebaikan dan kemuliaan.
Jangan sesekali kita menenggelamkan diri dalam timbunan alasan dan keraguan yang hanya menipu diri kita. Bangkitlah dari lena dan humbankan segala kelemahan yang memerangkap hidup kita dari terjerat dengan tipu daya syaitan.
Seseorang pernah berkata kepada saya:-
"Hanya orang bodoh sahaja yang melakukan perkara yang sama dengan cara yang sama setiapkali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza."
Oleh itu, jika kita mahu berubah, adakah kita mahu ulangi kesilapan yang sama yang tidak memberikan apa-apa perubahan di akhirnya?
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment